Sunday, September 21, 2008

sumber bijih timah

Pengenalan
Perusahaan bijih timah dijalankan oleh orang-orang Melayu berabad-abad lamanya sebelum abad ke-19 dan dipercayai sejak abad ke-9, perusahaan ini dijalankan secara kecil-kecilan sebagai pekerjaan sambilan dengan menggunakan teknologi kuno terutamanya mendulang. Orang-orang Melayu menguasai perusahaan bijih timah sehingga tahun 1830. Sejak tahun 1840, pembesar-pembesar Melayu seperti Long Jaafar dan Ngah Ibrahim (Larut), Dato’ Kelana (Sungai Ujong), Raja Abdullah (Kelang) dan lain-lain telah membawa masuk orang-orang Cina dari Negeri-negeri Selat untuk mengerjakan perlombongan bijih timah mereka. Sejak itu, perusahaan bijih timah dikuasai oleh orang-orang Cina. Serentak dengan penglibatan orang-orang Cina, berlaku perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

Faktor-faktor perkembangan perusahaan bijih timah
1. Revolusi perusahaan
Perkembangan Revolusi Perusahaan sejak awal abad ke-19 telah menyebabkan permintaan bijih timah oleh industri-industri di Eropah dan Amerika Syarikat meningkat lebih-lebih lagi selepas terciptanya teknologi mengetin makanan oleh Peter Durar dan Nicholas Appot pada tahun 1810. Permintaan bijih timah juga meningkat akibat dari berlakunya Perang Saudara Amerika pada tahun 1860-an di mana bijih timah diperlukan untuk mengetin makanan tentera yang terlibat dalam peperangan. Permintaan yang bertambah menyebabkan harga bijih timah meningkat kepada 7 paun 12 sherling 9 pence pada tahun 1872. Harga yang meningkat telah menggalakkan pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu. Permintaan terhadap bijih timah juga meningkat kerana bijih timah mempunyai kualiti-kualiti tertentu yang tidak terdapat pada logam-logam lain. Apabila bijih timah dicampurkan dengan logam lain, ianya akan menambahkan kegunaan logam tersebut.
2. Campur tangan British
Campur tangn British dan perlaksanaan Sistem Residen sejak tahun 1874 di negeri-negeri yang kaya dengan bijih timah seperti Perak dan Selangor telah menamatkan kekacauan seperti pergaduhan di antara pembesar, pergaduhan antara pelombong Cina, lanun dan sebagainya. Keamanan dan peraturan yang wujud serta kestabilan politik telah membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dijalankan tanpa gangguan. Selain itu, keadaan ini telah menarik pelabur-pelabur sama ada dari Tanah Melayu atau seberang laut untuk menambah modal dalam perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.
3. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896
Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu 1896 yang menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang telah berjaya mewujudkan keseragaman dalam Undang-undang Tanah, cukai dan sebagainya di negeri-negeri tersebut. Keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, keamanan serta kestabilan akibat penubuhan persekutuan telah membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan dengan lebih giat. Penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga telah menarik ramai pelabur terutama dari Eropah untuk menanam modal di Tanah Melayu.
4. Sistem perhubungan
Pembinaan sistem perhubungan jalan raya dan keretapi telah memudahkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan utama untuk dieksport. Jalan keretapi pertama dibina pada tahun 1885 untuk menghubungkan Taiping dengan Port Weld, 1886 Kuala Lumpur – Kelang, 1891 Port Dickson – Seremban, 1893 Ipoh – Teluk Anson. Menjelang 1903, terdapat jalan keretapi menghubungkan Perai ke Seremban dan disambungkan ke Johor Bahru pada tahun 1909. Pada tahun 1911, sudah terdapat jalan raya dari Perai ke Singpura.
5. Penubuhan bandar
Penubuhan bandar-bandar di kawasan perlombongan bijih timah telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pejabat kerajaan, klinik, sekolah dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan ini telah memberi kebaikan kepada penduduk di kawasan yang terlibat/terdiri dari perlombongan. Sebagai contoh, kemudahan kesihatan yang disediakan dapat menjamin kesihatan pekerja-pekerja dan membolehkan kegiatan perlombongan bijih timah dapat dijalankan tanpa gangguan.
Perlombongan bijih timah di Batu
Gajah , Perak.

No comments: